[VIDEO] 'Ingat baling benda, rupanya anak kucing'
KUALA LUMPUR - Seorang remaja terkilan dan sedih apabila menemukan seekor anak kucing dalam keadaan nyawa-nyawa ikan setelah dipercayai dibaling dari tingkat dua di sebuah pangsapuri di sini.
Ketika kejadian, Kid, 22, mahu menunaikan solat Jumaat pada jam 1 tengah hari sebelum terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun ketika keluar dari rumahnya.
"Masa keluar dari rumah, saya ada nampak budak-budak bermain di koridor dan baling benda dari tingkat atas, tapi tak tahu apa yang mereka baling.
"Bila saya turun bawah pergi ke tempat letak motosikal, terkejut ada benda jatuh dan bila dekat, rupanya seekor anak kucing. Luluh hati saya melihat ada yang sanggup buang anak kucing dari tingkat atas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ekoran itu, dia mengangkat anak kucing itu dan meletakkan di tepi laluan sebelum naik semula ke tingkat dua untuk bertemu kanak-kanak tersebut.
"Saya tanya mereka, apa yang mereka lakukan? budak-budak itu diam sahaja. Saya juga bertemu keluarga mereka dan menceritakan hal sebenar.
"Memang keluarga mereka sangat marah dan ucap terima kasih kepada saya kerana menguruskan bangkai anak kucing itu," katanya.
Dalam pada itu, Kid bersama seorang jiran tetangga tanam bangkai kucing itu di lokasi lapang berhampiran pangsapuri sebelum menunaikan solat Jumaat.
Jelasnya, menjadi rutin harian memberi anak-anak kucing makan di sekitar rumahnya.
"Saya tidak pernah bela kucing tetapi saya suka kucing. Jadi bila ada anak-anak kucing di sini, saya akan beri makan termasuk anak kucing yang mati ini.
"Saya jadi marah, sebak bila jumpa anak kucing yang saya jaga tiba-tiba mati begitu sahaja akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan," katanya berharap insiden itu tidak berulang kembali.
Dalam pada itu, dia juga berharap perkongsian kisah ini membuka mata buat orang ramai agar tidak sesuka hati membuang benda atau apa jua barang dari pangsapuri ke bawah kerana ia boleh mengundang bahaya.
"Para ibu bapa juga diharap dapat mendidik anak-anak mereka cintakan haiwan sejak awal lagi termasuk membiasakan diri dengan penjagaan dan pemeliharaan haiwan," katanya.
Terdahulu, perkongsian satu rakaman video durasi 17 saat di Twitter Kid tular mendedahkan dia ternampak kanak-kanak mencampakkan benda bagaimanapun ia merupakan anak kucing.
Perkongsian video meruntun jiwa netizen itu meraih 386,100 tontonan.
so today before keluar aku nampak ada budak budak campak benda dari tingkat 2, aku biar jela aku igtkan sampah and bila aku turun pergi kat motor rupanya pic.twitter.com/wtWXx2AJMk
— Kotoamātsukami (@lildumbasskid) October 18, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!